Belle – Gabungan Antara Drama Serta Emosi

Belle atau dalam bahasa Jepunnya berjudul ‘Ryu to Sobakasu no Hime‘ (Naga dan Sang Puteri dengan Wajah Berbintik) merupakan filem anime terbaru oleh pengarah Mamoru Hosoda, nama Mamoru Hosoda memang tidak asing jika korang pernah menonton Wolf Children, Mirai dan The Boy and the Beast.

Belle pertama kali ditayangkan di Jepun pada pertengahan 2021, Belle mendapat banyak pujian. Di Festival Filem Cannes 2021 filem ini telah mendapat 14 minit tepukan gemuruh di festival tersebut.

Belle bagi aku ialah gabungan antara drama dan emosi yang serupa dengan apa yang kita saksikan dalam filem Disney.

Plot

Suzu adalah seorang pelajar sekolah menengah biasa yang pemalu berasal dari sebuah kampung yang kecil. Dia telah menjadi bayangan dirinya selama bertahun-tahun.

Tetapi apabila dia memasuki “U” dunia virtual yang besar, dia berubah menjadi Belle, seorang penyanyi yang menakjubkan dan dipuja di peringkat antarabangsa. Pada suatu hari, makhluk mengerikan berupa Naga yang misteri bernama Ryu dikejar oleh pengawal telah mengganggu konsert Belle.

Suzu memulakan usaha yang penuh emosi dan epik untuk menemui identiti “makhluk” misteri ini dan dirinya. Nak dijadikan cerita, Belle dan Ryuu telah menjadi sangat terkait dengan masalah masing-masing dalam kedua-dua dunia nyata dan dunia maya.

Plot Tanpa Perwatakan Berlebihan

Anime ini mengingatkan aku kepada filem-filem terdahulu Mamoru Hosoda ‘Digimon Adventure’ atau ‘Summer Wars’, yang turut menampilkan dunia maya dan media sosial yang berkesinambungan dengan dunia nyata. Konflik yang ditawarkan juga agak pelbagai.

Watak Ryuu menjadi tarikan utama dengan kemisteriannya. Plot yang diisi antara watak tidak begitu jelas menyebabkan ia agak mengelirukan ke mana plot utama akan dibawa. Tetapi secara keseluruhan sehingga akhir aku boleh katakan sangat memuaskan.

Visual Dinamik Yang Memukau Mata

Mamoru Hosoda sememangnya terkenal dengan teknik menggabungkan animasi 2D klasik dengan visual 3DCG. Bermula dari latar belakang setiap tempat dengan pewarnaan yang cantik, ia disatukan dengan animasi objek yang agak memuaskan bagi aku.

Kontras yang muncul antara dunia maya dan dunia nyata dalam Belle menambah kemewahan visualnya sendiri. Bukan sahaja watak Belle, watak lain juga digambarkan dalam pelbagai cara, daripada pasukan superhero hinggalah kepada haiwan aneh seperti dunia Alien.

Susunan Musikal Yang Menjadi

Bukan sahaja sedap mata memandang, malah telinga turut berpuas hati dengan setiap susunan lagu yang memenuhi filem ini, terasa megah dan padan. Lebih-lebih lagi apabila lagu Belle berada di tengah-tengah alam maya yang sentiasa digambarkan dengan luas tanpa sempadan dengan aspek digital seperti dunia data.

Watak Belle yang menjadi penyanyi terkenal dalam “U” serasi dengan suaranya, kerana suara dan nyanyian lagu tersebut diisi secara langsung oleh Kaho Nakamura yang merupakan penyanyi dan pencipta lagu.

Kesimpulan

Oh ya, anime ini diilhamkan daripada cerita ‘Beauty and the Beast’. Dikemas dalam plot ringkas yang menghubungkan masalah kehidupan sebenar dan dunia maya. Watak utama budak sekolah mengukuhkan lagi ciri-ciri Mamoru Hosoda yang suka mengangkat kehidupan budak sekolah dan masalah mereka dalam karyanya.

Visual dan audio filem boleh disimpulkan agak memuaskan dan memenuhi tanggapan aku. Animasi 2D yang disatukan dengan 3D dan kesan visualnya seakan-akan menyuruh kita untuk tidak mengalihkan pandangan dari setiap sudut adegan. Walaupun banyak hubung kait antara watak-watak terlalu rata.

Daripada ulasan di atas, aku dapat memberikan markah 7/10 untuk filem Belle.

Artikel Lain

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *