Studio Ghibli sudah sinonim sebagai sebuah studio animasi termasyur masa kini. Sebut saja Ghibli, semua terfikirkan Atuk Miyazaki, dan jika bertanyakan kepada umum apakah filem keluaran Studio Ghibli yang menjadi pujaan hati, rata-rata akan menyatakan Spirited Away, Ponyo, Howl’s, Arietty atau Totoro.
Namun tahukah anda bahawa daripada semua filem keluaran Ghibli, hanya tiga buah sahaja yang mendapat markah sempurna 100% di Rotten Tomatoes? Dan ketiga-tiganya bukan hasil keluaran Atuk Miyazaki, sebaliknya Isao Takahata, salah seorang dari pengasas Studio Ghibli. Jadi artikel kali ini memfokuskan kepada salah sebuah dari tiga filem itu, iaitu Only Yesterday.
Only Yesterday dikeluarkan pada tahun 1991, dan merupakan filem nombor satu pada tahun itu. Berbeza dari filem-filem Ghibli sebelum ini yang lebih bertemakan fantasi (kecuali Grave), Only Yesterday lebih bertema memori dan nostalgia. Tajuknya dalam bahasa Jepun, おもひでぽろぽろ (Omoide Poro Poro), sangat bersesuaian dengan filem ini dengan おもひで bermaksud “memori” manakala ぽろぽろmerupakan ekspresi sesuatu “jatuh, menitis atau mengalir”. Berbanding dengan semua filem Ghibli lain yang menerima dub Bahasa Inggeris, filem ini dianaktirikan oleh Disney sebagai pemegang lesen. Filem ini juga tidak dipasarkan kerana kebimbangan Disney tentang topik “dewasa” (akil baligh). Hanya selepas hakmilik Disney tamat pada 2015, barulah syarikat baru GKIDS mengeluar dan memasarkan versi Bahasa Inggeris.
Only Yesterday berkisar tentang seorang wanita muda dari Tokyo, Taeko Okajima dan pengembaraannya ke Yamagata untuk melawat saudara jauh dan bekerja di ladang mereka. Sepanjang di sana, dia mula mengimbau kenangannya ketika berumur 11 tahun, dan tarikan filem ini adalah melihat memori Taeko ketika muda; jatuh cinta buat kali pertama, mengalami akil baligh, dan kehidupannya bersama keluarga. Ketika di Yamagata, Taeko bertemu dengan seorang pemuda petani organik, Toshio. Mereka menjadi rapat, tetapi Taeko masih terperangkap di dalam nostalgianya. Sepanjang filem ini, penonton boleh melihat bagaimana Taeko mempersoalkan tentang dirinya: siapa dirinya dahulu, kini dan masa depan.
Menyentuh sedikit tentang animasinya, filem ini mempunyai dua stail animasi berbeza. Animasi ketika Taeko masih kecil menggunakan kaedah tradisi di mana suara dimasukkan selepas animasi di siapkan. Manakala animasi ketika Taeko dewasa menggunakan kaedah sebaliknya, suara dirakam sebelum animasi dilakukan. Takahata juga merakam gaya pertuturan para pelakon. Semua ini membolehkan animasi ketika fasa dewasa ini mempunyai mimik muka yang lebih “real” berbanding biasa.
Secara jujurnya, penulis pernah menonton filem ini waktu kecil dahulu, tetapi rasa filem ini bosan kerana tak dapat “connect” dengan jalan ceritanya. Namun apabila diulang sekali lagi ketika dewasa ini, barulah penulis dapat menghargai dan rasa perasaan yang Taeko lalui. Benarlah seperti tajuknya, perasaan nostalgia itu seperti mengalir ketika menonton filem ini.
Sumber:
- Ghibli Wiki. Unknown year. Only Yesterday. https://ghibli.fandom.com/wiki/Only_Yesterday
- Berardinelli, J. 2019. Only Yesterday (Japan, 1991). https://www.reelviews.net/reelviews/only-yesterday.
- 2016. The Final Scene in Studio Ghibli’s Only Yesterday Is Perfect. https://opuszine.us/posts/final-scene-studio-ghibli-only-yesterday-perfect
- Obropta, C.T. 2021. ONLY YESTERDAY, Isao Takahata’s Forgotten Masterpiece, 30 Years Later. https://www.filminquiry.com/only-yesterday-1991-review-2/