Bubble – Kisah Dogeng Ikan Duyung Moden?

Bubble adalah salah satu filem anime yang paling ditunggu-tunggu oleh para peminat Anime khusunya di Malaysia pada penghujung April lalu. Anime ini telah dikeluarkan secara rasmi pada 28 April 2022, filem original yang diproduksi oleh WIT STUDIO ini telah ditayangkan pada platform penstriman Netflix.

Filem Bubble mempunyai tanggapan yang menarik dengan berlatar belakangkan post-apocalypse. Filem ini juga telah memacu rasa ingin tahu ramai peminat kerana ia menampilkan rekaan yang cantik, pelakon suara yang terkemuka, dan diurus oleh kakitangan veteran yang berpengalaman dalam dunia produksi anime.

Plot

Selepas fenomena buih misteri semakin berluasa dan berlaku di pelbagai tempat di dunia, letupan aneh menjadikan Tokyo kucar-kacir dan orang ramai telah mula meninggalkan Tokyo. Bukan sahaja memusnahkan seluruh bandar, kubah gelembung juga menyelubungi bandar, mengganggu graviti, dan menyebabkan Tokyo terpaksa ditutup kepada orang ramai. Walaupun dengan larangan itu, beberapa orang muda kembali ke Tokyo dan mula tinggal di sana. Bandar ini kemudiannya digunakan sebagai arena parkour kerana bentuk muka buminya yang mencabar.

Hibiki adalah salah seorang ramaja yang kembali ke Tokyo selepas terselamat daripada pecahan gelembung. Beliau menyertai kumpulan Blue Blaze dan sentiasa menjadi tunjang utama ketika melakukan parkour. Pendengarannya yang sangat sensitif membolehkannya menentukan langkah yang tepat walaupun di kawasan yang curam.

Bagi Hibiki, tiada apa yang menarik perhatiannya selain lagu misteri yang selalu didengarinya dari menara tempat letupan berlaku. Suatu hari, dia mendengar lagu itu semula dan memanjat menara. Ketika nyawanya hampir mati akibat terjatuh ke dalam air, Hibiki telah diselamatkan oleh seorang gadis misteri bernama Uta.

Uta sangat tangkas sehingga dia dilatih turut serta dalam parkour. Lama kelamaan, kehadiran Uta menjadikan hidup Hibiki lebih berwarna. Dia yang pada mulanya terlalu introvert akhirnya belajar untuk lebih bersifat terbuka dan mempercayai rakan sepasukannya. Namun, kewujudan misteri dan asal usul Uta akan terbongkar tidak lama lagi bersama misteri fenomena gelembung yang telah memusnahkan Kota Tokyo.

Fenomena gelembung yang menjadi punca kemusnahan sesebuah bandar merupakan tarikan yang cukup unik dan menarik bagi filem Bubble satu ini. Jalan cerita seperti kisah dongeng ikan duyung juga telah dibuat untuk disampaikan dengan menarik dan ringan, walaupun pengakhirannya agak mudah diramal haha.

 

Reka Bentuk Yang Terang Dengan Animasi Khas

WIT STUDIO memang tak disangkalkan lagi adalah salah satu studio pengeluar anime terbaik. Jadi jangan terkejut, jika filem original studio ini juga dihasilkan tidak kurang bagus dengan anime lain. Reka bentuk setiap watak dibuat untuk menonjolkan kombinasi warna yang cantik.

Jika korang pernah menonton anime Vivy: Fluorite Eye’s Song yang juga dihasilkan oleh WIT STUDIO, korang juga akan dapati kualiti reka bentuk adalah sama baik seperti dalam filem Bubble ini. Satu fakta menarik, rekaan watak filem ini rupa-rupanya dicipta oleh pelukis dan pencipta manga Death Note dan Platinum End iaitu Takeshi Ohbata tau.

Beralih kepada animasi, satu kepakaran bagi WIT STUDIO dalam mencipta adegan dengan pelbagai variasi sudut. Sudut pandangan penonton seolah-olah diajak untuk mengikuti pergerakan parkour watak masing-masing. Tempo setiap babak yang disusun pantas dan perlahan secara bersilih ganti turut membuatkan beberapa babak dalam filem ini agak syok untuk ditonton dan aku sukakannya. Dari segi reka bentuk dan animasi, WIT STUDIO telah melakukan tugasnya denga baik sekali dengan menghasilkan Bubble supaya penonton tidak rasa bosan ketika menonton filem ini.

 

Menampilkan Elemen Parkour Dan Utopia Yang Terang

 

Tetsuro Araki pengarah Bubble juga pernah mengarah dua anime aksi iaitu Attack on Titan dan Kabaneri of the Iron Fortress yang sebelum ini juga penuh dengan adegan lompat melompat dari bangunan seperti pergerakan parkour, Tetsuro Araki mendedahkan dia ingin mengetengahkan sukan lasak ini dan mengembangkannya dalam filem Bubble. Araki juga telah berjumpa dan meminta nasihat dengan atlet parkour profesional dan cuba melakukan parkour sebagai rujukannya.

Selain mengetengahkan sukan parkour sebagai fokus utama dalam filem ini, Araki turut mempersembahkan Bubble dengan suasana post-apocalypse yang cukup cerah. Ini sudah tentu berbeza dengan karya Araki sebelum ini yang mengambil tema yang sama, tetapi dibuat lebih gelap dan tajam.

Terima kasih kepada Araki, Bubble telah mempunyai sinematografi yang sedap mata memandang dan selaras dengan jangkaan penonton. Daripada mencipta suasana sedih selepas bencana melanda, filem ini dibuat dengan cantik dan sebati dengan jalan cerita yang ringan.

Kesimpulan

Daripada ulasan di atas, aku dapat memberikan markah 8/10 untuk filem anime Bubble. Penantian peminat nampaknya membuahkan hasil dengan kualiti cemerlang yang dipaparkan dalam Bubble. Bukan sahaja unggul dari segi jalan cerita, reka bentuk grafik dan muzik nampaknya menyemarakkan lagi anime ini.

Artikel Lain

Baiklah, sekarang kami nak kongsikan kat korang semua macam mana nak buat sari kata dengan menggunakan cara yang ramai subber buat. Antara yang korang perlu ada dan download ialah: 1-…

Komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *